Tiga dicekup, 5,000 liter petrol subsidi hampir ‘lolos’

PITAS: Cubaan menyeludup kira-kira 5,000 liter petrol bersubsidi dipercayai ke negara jiran tumpas selepas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah menyerbu kawasan tepi sungai Kampung Mapan-Mapan, di sini.

Dalam serbuan kira-kira 12.30 tengah malam, tiga lelaki berusia antara 36 hingga 39 tahun ditahan ketika dipercayai sedang memindahkan tong berisi petrol bersubsidi menggunakan bot di kawasan muara sungai.

Pemeriksaan membawa kepada rampasan kira-kira 5,000 liter petrol, 38 tong drum, tiga bot kayu, enjin serta kelengkapan bot.

Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai lebih RM100,000, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Ahmad Amri Abd Rahman menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau sindiket yang menyeleweng barangan bersubsidi kerajaan untuk dibawa keluar dari negara.

Katanya, sepanjang Januari hingga Ogos tahun ini, PPM W4 Sabah merekodkan 100 kes, 92 tangkapan dengan rampasan melebihi RM25.2 juta di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

PPM akan terus memperhebat risikan dan operasi bagi membanteras ketirisan serta penyeludupan barang kawalan bersubsidi di Sabah.

Berita Berkaitan