KKM rampas produk tidak berdaftar bernilai RM500,000

KOTA KINABALU: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merampas pelbagai produk farmaseutikal disyaki tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi bernilai kira-kira RM500,000 menerusi Operasi Penguatkuasaan Bersepadu (OPS PADU) di Sabah pada Rabu.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM, Asniza Alias berkata, operasi berkenaan membabitkan 60 anggota penguat kuasa farmasi dari seluruh negara bersama 50 anggota pelbagai agensi kerajaan.

Menurutnya, operasi itu dilaksanakan bagi membanteras rangkaian pengedaran haram produk farmaseutikal dan kosmetik yang dibekalkan ke kawasan tumpuan awam, khususnya tapak tamu serta kedai runcit di seluruh Sabah.

“Operasi ini dilaksanakan susulan pemantauan dan risikan selama hampir enam bulan sebelum sebanyak 11 premis yang dikenal pasti sebagai pembekal serta penjual produk berkenaan diserbu.

“Hasil pemeriksaan, sebanyak 27,910 item produk farmaseutikal disyaki tidak berdaftar, 2,663 item produk disyaki mengandungi racun berjadual dan 23,101 item kosmetik disyaki tidak bernotifikasi berjaya dirampas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media berkaitan OPS PADU Rampasan Produk Tidak Berdaftar dan Kosmetik Tidak Bernotifikasi di sini pada Rabu.

Asniza berkata, pemilik produk yang dirampas terdiri daripada pengusaha kedai runcit dan peniaga tamu yang dipercayai membekalkan serta menjual produk terbabit kepada orang ramai.

Katanya, produk farmaseutikal disyaki tidak berdaftar akan disiasat mengikut Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, yang merupakan kesalahan di bawah Peraturan 30(1) peraturan sama.

“Jika disabitkan kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama mengikut Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952.

“Kita ingin mengingatkan semua peniaga supaya memastikan setiap produk farmaseutikal yang dijual berdaftar dengan KKM, manakala produk kosmetik pula perlu mempunyai notifikasi yang sah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika membeli produk kesihatan dan kosmetik bagi mengelakkan penggunaan produk yang tidak memenuhi keperluan kawal selia.

Menurutnya, pengguna perlu memastikan produk ubat-ubatan mempunyai dua ciri utama, iaitu nombor pendaftaran yang sah serta hologram keselamatan FarmaTag.

“Orang ramai digalakkan menggunakan ubat-ubatan yang sah dan berdaftar serta menyokong kempen Tolak Ubat Tidak Sah (TOBaTS) bagi membendung penjualan dan penggunaan produk kesihatan yang menyalahi undang-undang,” katanya.

Asniza turut menggesa individu yang mempunyai maklumat mengenai penjualan produk tidak berdaftar supaya menyalurkan aduan kepada KKM menerusi Portal Aduan SisPAA di http://moh.spab.gov.my, talian 03-7841 3200 atau mana-mana Cawangan Penguatkuasaan Farmasi berhampiran.

Berita Berkaitan