KTC sasar perolehan RM3 bilion, tambah 1,000 peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun

KOTA KINABALU: Kim Teck Cheong Group (KTC) menyasarkan perolehan sehingga RM3 bilion dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang, seiring perancangan memperluas operasi perniagaan dan meningkatkan jumlah tenaga kerja kepada 2,500 orang.

Pengarah Eksekutif KTC, Datuk Dexter Lau berkata, kumpulan itu menyasarkan perolehan antara RM2 bilion hingga RM3 bilion, selain merancang menambah kira-kira 1,000 pekerja berbanding jumlah semasa sekitar 1,500 orang.

Menurutnya, pengembangan perniagaan itu bukan sekadar memberi tumpuan kepada pertumbuhan kewangan syarikat, sebaliknya turut membuka lebih banyak peluang pekerjaan mampan kepada rakyat Sabah, khususnya golongan yang memerlukan.

“Kerajaan sudah melaksanakan pelbagai usaha membasmi kemiskinan, namun sektor korporat juga perlu memainkan peranan dengan menyediakan peluang pekerjaan dan membantu rakyat meningkatkan keupayaan mereka.

“Jika penerima bantuan akhirnya kembali kepada keadaan asal, kerajaan, pembayar cukai dan sektor perniagaan terpaksa mengeluarkan lebih banyak sumber. Justeru, tumpuan perlu diberikan kepada usaha membantu mereka berdikari dan mengekalkan sumber pendapatan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyertai Simposium Kesejahteraan dan Transformasi Rakyat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Rabu.

KTC perluas penggunaan AI dalam operasi

Dexter berkata, KTC turut melaksanakan inisiatif penggunaan kecerdasan buatan (AI) secara menyeluruh dalam syarikat bermula 1 Oktober lalu sebagai sebahagian daripada strategi meningkatkan produktiviti dan daya saing tenaga kerja.

Menurutnya, inisiatif itu membabitkan usaha mendokumentasikan pengalaman perniagaan selama 90 tahun, pengetahuan tiga generasi serta proses membuat keputusan syarikat secara sistematik.

Katanya, pendekatan berkenaan membolehkan pengetahuan dan pengalaman korporat dimanfaatkan untuk pembangunan kemahiran pekerja, selain membantu mereka menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi.

“Inisiatif ini bertujuan memastikan setiap pekerja mempunyai peluang yang sama untuk bersaing tanpa mengira latar belakang keluarga atau keadaan peribadi.

“Apa yang penting ialah keupayaan berfikir secara bebas, meningkatkan kemahiran diri, bersikap proaktif dan bekerja keras,” katanya.

Beliau berkata, walaupun pelaksanaan AI itu belum diumumkan secara rasmi, perkembangannya sudah dikongsikan bersama pegawai kerajaan dan pihak berkepentingan ketika simposium berkenaan.

Pekerja Bumiputera kini cecah 70 peratus

Dalam perkembangan berkaitan, Dexter berkata, KTC berjaya meningkatkan penyertaan pekerja Bumiputera kepada 70 peratus daripada keseluruhan tenaga kerjanya, sekali gus melepasi sasaran awal sebanyak 60 peratus.

Menurutnya, kira-kira lima hingga enam tahun lalu, pekerja Bumiputera hanya merangkumi sekitar 40 peratus daripada jumlah keseluruhan pekerja syarikat.

Katanya, peningkatan itu membuktikan bahawa penyediaan peluang pekerjaan, latihan dan platform pembangunan kerjaya mampu memperkukuh penyertaan masyarakat tempatan dalam sektor korporat.

“Pertumbuhan syarikat juga bergantung kepada kesediaan dan keupayaan pekerja. Apabila peluang serta platform yang sesuai disediakan, lebih ramai individu mampu menyumbang kepada pembangunan perniagaan,” katanya.

Kerjasama kerajaan, swasta penting tangani kemiskinan

Dexter turut menegaskan bahawa usaha membasmi kemiskinan tidak seharusnya bergantung sepenuhnya kepada bantuan kewangan kerajaan, sebaliknya memerlukan penglibatan aktif sektor swasta dalam menyediakan pekerjaan yang berterusan.

Menurutnya, kerajaan memainkan peranan penting melalui bantuan kewangan, pendidikan dan latihan, namun cabaran sebenar adalah memastikan penerima bantuan mampu menyesuaikan diri dengan persekitaran pekerjaan serta mengekalkan pendapatan yang stabil.

Katanya, KTC berhasrat menyediakan peluang pekerjaan dan sokongan berterusan supaya pekerja dapat membina kerjaya serta mengelakkan mereka kembali terperangkap dalam kemiskinan.

Beliau berkata, kerjasama erat antara kerajaan, sektor korporat dan masyarakat penting bagi memastikan pertumbuhan ekonomi turut membawa manfaat kepada golongan berpendapatan rendah.

“Matlamat akhirnya adalah untuk memastikan rakyat mampu berdikari, mempunyai pekerjaan mampan dan terus berkembang bersama pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Menurutnya, pendekatan itu selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya yang menekankan pembangunan ekonomi serta peningkatan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.

Berita Berkaitan