‘Jangan roboh dulu rumah kami, anak nak SPM!’ – Penduduk Kampung Pondo merayu

KOTA KINABALU: “Jangan roboh dulu rumah kami, anak-anak nak hadapi SPM!”

Itu rayuan penduduk Kampung Pondo, Pulau Gaya yang meminta pihak berkuasa menangguhkan rancangan perpindahan dan perobohan kediaman mereka kerana bimbang persediaan anak-anak menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terjejas.

Jurucakap penduduk berkata, mereka bukan mahu menentang kerajaan negeri Sabah atau Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), sebaliknya hanya meminta sedikit masa dan pertimbangan terhadap nasib keluarga yang terlibat.

“Kami bukan melawan kerajaan dalam isu perpindahan Kampung Pondo, Pulau Gaya, terutama Datuk Bandar Kota Kinabalu atau kerajaan negeri Sabah.

“Tetapi fahamlah, dalam tempoh terdekat anak-anak kami akan menghadapi SPM. Sudah tentu perpindahan ini akan mengganggu persediaan mereka menghadapi peperiksaan,” katanya.

Lebih membimbangkan, kebanyakan penduduk yang mencari rezeki sebagai nelayan berdepan kesukaran sekiranya dipindahkan ke Telipok, jauh daripada kawasan mereka menjalankan kegiatan menangkap ikan.

“Rata-rata kami bekerja sebagai nelayan. Kalau dipindahkan ke Telipok, bagaimana kami mahu meneruskan pekerjaan?

“Kalau pun kami perlu berpindah, carilah kawasan berhampiran Pulau Gaya yang mempunyai sekolah dan membolehkan kami terus mencari rezeki,” katanya.

Menurutnya, rumah yang didiami bukan sekadar tempat berteduh, malah menjadi tempat mereka membesarkan anak-anak dan menjalani kehidupan seharian.

Beliau berharap pihak berkuasa tidak melaksanakan perobohan secara tergesa-gesa tanpa mengambil kira pendidikan anak-anak dan sumber pendapatan penduduk.

“Kami hanya merayu supaya ditangguhkan dahulu. Ini tempat tinggal kami, janganlah kami disuruh berpindah begitu sahaja,” katanya.

Penduduk kini berharap DBKK dan kerajaan negeri dapat mempertimbangkan penangguhan serta berbincang mengenai penempatan alternatif yang lebih sesuai dengan kehidupan masyarakat nelayan.

Berita Berkaitan