Lari daripada JPJ, Perodua Viva akhirnya disita di Tuaran
KUALA LUMPUR : Sebuah Perodua Viva yang tular selepas dirakam cuba melarikan diri daripada kenderaan penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Sabah akhirnya dikesan dan disita.
Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, kenderaan itu sebelum ini gagal berhenti apabila diarahkan anggota penguat kuasa sebelum bertindak melarikan diri.
“Kenderaan yang gagal berhenti dan cuba melarikan diri daripada penguat kuasa itu sudah disita dan dibawa ke depot sitaan kenderaan Ibu Pejabat Kota Kinabalu,” katanya.
Rakaman video bertarikh 19 Sept yang tular di media sosial menunjukkan sebuah Perodua Viva hitam dikejar kenderaan JPJ. Kereta berkenaan dilihat beberapa kali menukar lorong ketika diekori.
Menurut Muhammad Kifli, JPJ Sabah menjalankan siasatan sebelum mengesan kenderaan itu di Kampung Sabandar, Tuaran kira-kira jam 10.25 malam pada hari sama.
Hasil pemeriksaan mendapati pemandunya didakwa melakukan tiga kesalahan iaitu memandu tanpa Lesen Memandu Kompeten (CDL), tiada perlindungan insurans serta menggunakan kenderaan dengan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh.
JPJ kemudian mengeluarkan satu notis penahanan kenderaan bersama tiga notis P22.
Operasi penyitaan dilaksanakan Unit Penguatkuasa Bermotor dan Unit Peronda JPJ dengan bantuan polis Tuaran.
Muhammad Kifli turut mengingatkan pengguna jalan raya supaya tidak meniru tindakan sedemikian kerana boleh membahayakan pemandu, anggota penguat kuasa serta pengguna jalan raya lain.

