Lari sembunyi dalam semak selepas dicabul
SEMPORNA: Seorang wanita warga China terpaksa melarikan diri dan bersembunyi di kawasan semak selepas seorang lelaki dipercayai menceroboh bilik penginapannya di sebuah resort di Jalan Kamiri, di sini.
Ketua Polis Daerah Semporna, Supt Tan Hiap Wah berkata kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 3 pagi, 19 September lalu ketika mangsa berusia 25 tahun sedang tidur.
Katanya, mangsa tersedar sebelum mendapati seorang lelaki berada di dalam biliknya.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai memegang tangan mangsa dan menanggalkan sebahagian pakaian mangsa sebelum berlaku pergelutan,” katanya.
Mangsa kemudian berjaya melarikan diri sebelum bersembunyi di kawasan semak berhampiran sehingga ditemui seorang pekerja resort pada waktu pagi.
Ketika cuba melarikan diri, mangsa mendakwa rambutnya ditarik suspek sehingga menyebabkannya terjatuh.
Susulan laporan diterima, anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Semporna menahan seorang lelaki berusia 18 tahun di kawasan resort kira-kira jam 8 malam pada hari sama.
Suspek dibawa ke IPD Semporna bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 448 dan Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Polis meminta orang ramai tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan kerana siasatan masih dijalankan.

