Lima didakwa kemuka dokumen palsu tuntutan insentif Perkeso Daya Kerjaya 2.0

KOTA KINABALU: Empat pemilik syarikat dan seorang eksekutif pemasaran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini hari ini atas pertuduhan mengemukakan dokumen palsu berkaitan tuntutan insentif di bawah Program Daya Kerjaya 2.0 Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Mereka ialah Pausia Abu, 49, Arzeanti Jafar, 40, Nur Farhanah Jamil, 38, Mohd Azhar Ramali, 39, dan Foo Fong Kent, 31.

Foo berdepan tiga pertuduhan, manakala Pausia dan Mohd Azhar masing-masing menghadapi dua pertuduhan. Arzeanti dan Nur Farhanah pula masing-masing didakwa atas satu pertuduhan.

Mengikut pertuduhan, semua tertuduh didakwa mengemukakan Borang Pengesahan Pekerja Daya Kerjaya 2.0 atas nama syarikat masing-masing kepada ejen Perkeso walaupun mempunyai sebab untuk mempercayai dokumen berkenaan mengandungi butiran palsu yang bertujuan memperdayakan pihak prinsipal.

Kesalahan didakwa dilakukan di beberapa lokasi di Kota Kinabalu, Papar, Tuaran dan Manggatal antara Mac hingga Oktober tahun lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama, memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai butiran palsu atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Hakim Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, Andi Razalijaya A. Dadi membenarkan semua tertuduh diikat jamin antara RM8,000 hingga RM10,000 dengan dua penjamin tempatan, selain mengarahkan mereka melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan, menyerahkan pasport antarabangsa serta tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 14 September depan untuk pengurusan kes sebelum perbicaraan berasingan dijalankan mengikut tarikh yang ditetapkan bagi setiap tertuduh.

Berita Berkaitan