Lima individu mengaku tidak bersalah kes Ops Mara babit PPRT
KOTA KINABALU – Lima individu termasuk empat pemilik syarikat dan seorang pembantu tadbir mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah di sini pada Rabu atas pelbagai pertuduhan berkaitan dokumen bagi kerja baik pulih rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).
Pengakuan itu dibuat selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu, Andi Razalijaya A Dadi.
Empat pemilik syarikat terbabit ialah Ashar Usman, 45; Shariff Wahya, 55; Kenidi Musa, 41; dan Mohd Nur Musa, 42, manakala seorang lagi tertuduh ialah Aidah Mustapha, 54, pembantu tadbir di Jabatan Pertanian Negeri Sabah.
Ashar dan Shariff masing-masing berdepan satu pertuduhan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Ashar didakwa memberikan pesanan belian bernilai RM14,933 kepada Pengarah GIATMARA Negeri Sabah pada April 2021 yang didakwa mengandungi pernyataan palsu berkaitan kerja baik pulih sebuah rumah PPRT.
Shariff pula didakwa memberikan pesanan belian bernilai RM14,999 antara Februari hingga Mac 2021 yang didakwa mengandungi pernyataan palsu berkaitan kerja baik pulih sebuah rumah di bawah program sama.
Kenidi berdepan lima pertuduhan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 membabitkan beberapa invois bagi kerja baik pulih rumah PPRT yang didakwa tidak mengikut spesifikasi kerja atau butir pengiraan (BQ) ditetapkan.
Mohd Nur turut berdepan lima pertuduhan mengikut seksyen sama berkaitan beberapa pesanan belian bagi kerja PPRT yang didakwa tidak dilaksanakan atau tidak mengikut BQ ditetapkan.
Sementara itu, pertuduhan terhadap Aidah membabitkan beberapa invois kerja baik pulih rumah PPRT selain penggunaan dokumen yang didakwa palsu sebagai tulen.
Sebahagian pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009, manakala pertuduhan berkaitan penggunaan dokumen didakwa palsu dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan.
Mahkamah membenarkan Ashar diikat jamin RM10,000 dengan deposit RM3,000 dan seorang penjamin tempatan, manakala Shariff dikenakan jaminan RM10,000 dengan deposit RM1,000 dan seorang penjamin.
Kenidi dan Mohd Nur masing-masing dibenarkan jaminan RM15,000 dengan deposit RM5,000, manakala Aidah dikenakan jaminan RM20,000 dengan deposit RM5,000.
Hakim Andi Razalijaya turut memerintahkan semua tertuduh melapor diri di pejabat SPRM terdekat sekali sebulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mendekati saksi pendakwaan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Dzulkarnain Rousan Hasbi, manakala Aidah diwakili peguam Jessica Ombou. Empat tertuduh lain tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 28 Oktober depan untuk pengurusan kes.

