SAFMA teroka industri perikanan melalui kerjasama institusi kewangan

SEMPORNA: Sabah Fish Marketing Sdn Bhd (SAFMA) berhasrat untuk menceburi dan memperluaskan penglibatan dalam industri perikanan melalui kerjasama strategik dengan institusi kewangan bagi meneroka peluang perniagaan dan pelaburan yang berpotensi.

Pengurus Besar SAFMA, Burhan Japar berkata, kerjasama dengan institusi kewangan seperti Agrobank penting bagi membuka ruang kepada SAFMA untuk mengenal pasti peluang yang berdaya maju dalam sektor perikanan, termasuk industri berkaitan rumpai laut.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan kunjungan hormat kepada Pengurus Agrobank Cawangan Semporna, Donny Abbie, sempena lawatan kerja SAFMA ke daerah itu.

Menurutnya, pertemuan tersebut memberi peluang kepada kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai potensi industri perikanan di Semporna serta bentuk kerjasama yang boleh diterokai dari sudut pembiayaan, pembangunan projek dan peluang perniagaan.

“SAFMA mahu bergerak lebih jauh dengan meneroka peluang dalam industri perikanan. Untuk mencapai hasrat itu, kita memerlukan jaringan kerjasama yang kukuh, termasuk dengan institusi kewangan yang mempunyai kepakaran serta kemudahan pembiayaan dalam sektor agro dan perikanan.

“Kerjasama ini diharap dapat membuka ruang kepada SAFMA untuk mengenal pasti projek yang berpotensi dan berdaya maju, selain mewujudkan peluang ekonomi kepada nelayan, pengusaha rumpai laut serta usahawan tempatan,” katanya.

Burhan berkata, Semporna mempunyai potensi besar dalam industri perikanan dan rumpai laut yang boleh dikembangkan melalui pendekatan komersial serta kerjasama antara agensi, institusi kewangan dan pemain industri.

Katanya, SAFMA akan terus meneroka peluang kerjasama strategik yang bukan sahaja mampu memperkukuh kedudukan syarikat dalam industri perikanan, malah memberi nilai tambah kepada hasil perikanan Sabah dan meningkatkan manfaat ekonomi kepada masyarakat setempat.

Turut bersama dalam kunjungan berkenaan ialah Timbalan Pengurus Besar SAFMA, Azis Ali Amat.

Berita Berkaitan