Lima pemandu perdagangan positif dadah dalam Ops Bersepadu JPJ

KOTA KINABALU: Seramai lima pemandu kenderaan perdagangan didapati positif dadah selepas menjalani saringan dalam Ops Bersepadu Dadah yang dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan beberapa agensi penguatkuasaan lain.

Operasi yang bermula sejak 1 Julai lalu itu bertujuan mengesan pemandu yang menyalahgunakan dadah selain memastikan pematuhan terhadap undang-undang jalan raya dalam kalangan pemandu kenderaan perdagangan.

Pengarah JPJ Sabah, Datuk Mohd Harris Ali berkata, daripada 60 pemandu yang disaring sehingga 6 Julai, lima didapati positif methamphetamine (syabu).

Beliau berkata, pemandu yang disahkan positif akan dikenakan tindakan mengikut peruntukan undang-undang termasuk penahanan Lesen Memandu Kompeten (CDL) dan Lesen Vokasional (LV), selain penggantungan Lesen Vokasional selama tiga bulan mengikut peruntukan sedia ada.

Katanya, syarikat pengangkutan yang gagal memastikan pemandu mereka bebas daripada penyalahgunaan dadah turut berdepan tindakan termasuk syor penggantungan lesen pengendali.

“JPJ tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pemandu kenderaan perdagangan yang memandu di bawah pengaruh dadah kerana keselamatan pengguna jalan raya adalah keutamaan,” katanya.

Berita Berkaitan