Jamawi gesa syarat BUDI Diesel dikaji semula bantu pengusaha muda
KIULU: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar menggesa Kerajaan Persekutuan mengkaji semula syarat kelayakan Program BUDI Diesel supaya lebih ramai pengusaha muda dalam sektor pertanian dapat menikmati subsidi berkenaan.
Beliau berkata, ramai pengusaha khususnya di luar bandar tidak layak memohon kerana kenderaan yang digunakan untuk aktiviti pertanian tidak didaftarkan atas nama sendiri.
Menurutnya, sebahagian besar memperoleh kenderaan melalui kaedah sambung bayar atau pembiayaan syarikat, menyebabkan mereka tidak memenuhi syarat permohonan walaupun menggunakan kenderaan itu sepenuhnya untuk tujuan pertanian.
“Keadaan ini sedikit sebanyak menjejaskan semangat anak muda yang telah memilih sektor pertanian sebagai sumber pendapatan,” katanya selepas Program Jelajah Kebun Dapur di DUN Kiulu, hari ini.
Jamawi berkata, beliau akan membawa perkara itu kepada Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi mencari penyelesaian yang lebih sesuai.

