Lubang besar didakwa punca kesesakan teruk di Tebobon

KOTA KINABALU: Pengguna jalan raya menggesa pihak berkenaan mengambil tindakan segera terhadap lubang besar yang didakwa menjadi antara punca kesesakan di laluan Tebobon menghala Telipok dan Tuaran.

Berdasarkan perkongsian seorang pengguna media sosial, kerosakan jalan itu didakwa sudah berlarutan sejak minggu lalu dan semakin membesar sehingga menyukarkan kenderaan melalui kawasan berkenaan.

Pengguna terbabit turut mendakwa beberapa kenderaan mengalami kerosakan tayar selepas melalui lubang berkenaan.

Keadaan itu dikatakan menyebabkan aliran trafik bergerak perlahan, khususnya berhampiran lampu isyarat Tebobon apabila kenderaan terpaksa memperlahankan kelajuan atau mengelak bahagian jalan yang rosak.

Gambar yang dikongsikan turut menunjukkan barisan kenderaan melalui kawasan berkenaan pada waktu malam.

Pengguna jalan raya berharap pihak berkuasa berkaitan dapat melakukan pemeriksaan dan kerja pembaikan segera bagi mengelakkan risiko kemalangan serta kesesakan lebih buruk.

Bagaimanapun, setakat ini SNT belum memperoleh pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa mengenai punca sebenar kesesakan atau status tindakan pembaikan di lokasi berkenaan.

Berita Berkaitan