Berapa ramai lagi murid perlu jadi mangsa? – Tham

KOTA KINABALU: “Berapa ramai lagi anak-anak perlu kehilangan nyawa sebelum Kementerian Pendidikan (KPM) mengakui masalah ini sudah mencapai tahap krisis?”

Itu persoalan dibangkitkan ADUN Likas, Tham Yun Fook susulan kematian pelajar Tingkatan Empat, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal.

Tham berkata, beliau sedih dan kecewa dengan pendedahan bahawa lokasi pelajar berkenaan ditemui dalam kawasan sekolah didakwa tidak mempunyai liputan kamera litar tertutup (CCTV), walaupun sekolah itu mempunyai sistem CCTV.

Menurutnya, perkara itu menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan sistem keselamatan yang sepatutnya melindungi pelajar.

“Apabila seorang pelajar ditemui mati dalam kawasan sekolah, persoalannya bukan lagi semata-mata siapa yang akan disiasat, tetapi mengapa sistem keselamatan yang sepatutnya melindungi pelajar gagal berfungsi?

“Mengapa kawasan berpotensi berisiko tidak mempunyai liputan CCTV dan mengapa sistem pemantauan tidak dapat mengesan kejadian lebih awal?” katanya dalam kenyataan.

Tham yang juga bekas pegawai kanan pendidikan berkata, beberapa kejadian membabitkan buli, penderaan, keganasan dan kematian pelajar memerlukan tindakan lebih menyeluruh, bukan sekadar penambahbaikan prosedur selepas sesuatu kejadian berlaku.

Beliau mengulangi cadangan supaya Jawatankuasa Bipartisan Menangani Buli dan Keselamatan Pelajar diwujudkan di peringkat sekolah, daerah dan negeri.

Katanya, jawatankuasa itu perlu membabitkan KPM, pentadbir sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), wakil rakyat kerajaan dan pembangkang serta pertubuhan masyarakat sivil.

Tham turut mendesak KPM melaksanakan audit keselamatan menyeluruh terhadap semua sekolah dan asrama di seluruh negara, selain memastikan sebarang kecuaian dikenal pasti dan dipertanggungjawabkan melalui proses sewajarnya.

“Nyawa pelajar bukan harga yang perlu dibayar akibat kegagalan sistem.

“Seorang anak sudah kehilangan nyawa. Jangan biarkan lebih ramai lagi menjadi mangsa,” katanya.

Berita Berkaitan