Masiung terajui Gagasan Rakyat Kinabatangan, susun jentera menuju PRU16
SANDAKAN: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menyusun semula kepimpinan Bahagian Kinabatangan dengan melantik Naib Presiden parti, Datuk Masiung Banah, sebagai ketua bahagian dalam langkah yang dilihat sebagai persediaan memperkukuh jentera menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Penstrukturan itu melibatkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuamut, Sukau dan Lamag, sekali gus meletakkan Kinabatangan sebagai antara bahagian strategik parti di pantai timur Sabah.
Dalam mesyuarat penyusunan semula di Hotel Livingstone, Sandakan, Datuk Juhari Janan dari Sukau dilantik sebagai Timbalan Ketua Bahagian, manakala Datuk Abu Bakar Gapar dari Lamag sebagai Naib Ketua Bahagian.
Tiga sayap utama turut menerima kepimpinan baharu apabila Jahiah @ Jaliliah Apiang dilantik Ketua Pergerakan Wanita, Willy Frous Daronsok sebagai Ketua Pemuda dan Farizatul Akma Abdul Rahman sebagai Ketua Beliawanis.
Sementara itu, Aksyah Nasrah dilantik sebagai Ketua Penerangan, manakala Jamlin Kayatah dan Tokyo Abdul Hasim Salulid Kandan masing-masing memegang jawatan Setiausaha dan Bendahari Bahagian.
Keseluruhan struktur baharu itu melibatkan 38 anggota jawatankuasa.
Masiung yang juga ADUN Kuamut menggesa semua anggota jawatankuasa penaja melaksanakan tanggungjawab yang diberikan dengan memberi tumpuan kepada kepentingan parti dan rakyat di peringkat akar umbi.
Penstrukturan di Kinabatangan merupakan sebahagian daripada rombakan besar organisasi Gagasan Rakyat selepas pindaan perlembagaan parti.
Parti itu kini menukar asas pembentukan bahagian daripada kawasan DUN kepada kawasan Parlimen, dengan struktur keseluruhan disusun semula kepada 26 bahagian di Sabah dan Labuan, berbanding 74 bahagian sebelum ini.
Langkah berkenaan dilihat sebagai usaha memusatkan kekuatan organisasi, mengurangkan pecahan bahagian kecil dan menyusun jentera parti secara lebih tersusun menjelang persaingan politik akan datang.

