Jadikan MA63 naratif nasional, bukan isu Sabah-Sarawak semata-mata – Anwar

KOTA KINABALU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dibawa keluar daripada kerangka isu wilayah semata-mata dan dijadikan sebahagian daripada naratif nasional.

Menurutnya, pelaksanaan MA63 perlu difahami oleh seluruh rakyat Malaysia sebagai komitmen negara terhadap pembangunan, kestabilan dan keutuhan Persekutuan.

“Saya dah cadangkan supaya perbincangan MA63 itu dijadikan naratif nasional. Ia amat penting sebab kalau tidak, dia jadi macam sektoral.

“Setiap tahun kita kena bincang khas Sabah, Sarawak. Tidak. Ini merupakan komitmen negara tentang pembangunan, tentang kestabilan, tentang apa kita janji kemerdekaan Malaysia,” katanya.

Anwar berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63) Tahun 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Anwar turut menegaskan rakyat di Semenanjung tidak seharusnya melihat sebarang tambahan peruntukan atau pelaksanaan perkara berkaitan MA63 sebagai layanan khas kepada Sabah dan Sarawak semata-mata.

Katanya, MA63 perlu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha bersama memperkukuh negara dan bukan perbahasan berdasarkan kepentingan kaum, parti atau kelompok tertentu.

Sementara itu, Abang Johari menyokong cadangan berkenaan dan berkata pendekatan nasional dapat membantu menyelaraskan perkara yang termaktub dalam Perlembagaan dengan usaha memperkukuh Malaysia sebagai sebuah negara bersatu.

Beliau berkata pendekatan itu juga lebih praktikal dalam mengimbangi kepentingan Kerajaan Persekutuan, Sabah dan Sarawak, termasuk dalam aspek kewangan dan pembangunan.

Berita Berkaitan