Miliki tenggiling dan beruk tanpa kebenaran, lelaki dipenjara
TAWAU: Seorang lelaki berusia 42 tahun dijatuhi hukuman penjara selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan memiliki hidupan liar dilindungi tanpa kebenaran sah.
Menurut Jabatan Hidupan Liar Sabah, Jufrie Abu dijatuhi hukuman penjara 36 bulan bagi pemilikan seekor tenggiling dan 24 bulan bagi pemilikan seekor beruk.
Kedua-dua hukuman diperintahkan berjalan serentak bermula dari tarikh sabitan.
Kes berkenaan berlaku di Kampung Kalumpang, Jalan Tawau-Semporna, Semporna pada kira-kira jam 11 malam, 10 Jun lalu.
Hasil pemeriksaan pihak berkuasa menemukan seekor beruk (Macaca nemestrina) dan seekor tenggiling (Manis javanica) dalam milikan tertuduh.
Kedua-dua haiwan itu merupakan spesies dilindungi di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.
Pendakwaan di Mahkamah Sesyen Tawau dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Hidupan Liar Sabah, Primus Lambut.
Jabatan Hidupan Liar Sabah berkata tindakan tegas akan terus diambil terhadap pemilikan atau pengendalian hidupan liar dilindungi tanpa kebenaran sah.
Orang ramai turut diseru supaya tidak memiliki atau memperdagangkan hidupan liar dilindungi secara haram.

