Sabah sasar 651,610 peserta Hari Sukan Negara

KOTA KINABALU : Sabah menyasarkan penyertaan seramai 651,610 orang sempena sambutan Hari Sukan Negara (HSN) Peringkat Negeri Sabah 2026 yang dijadual berlangsung pada 10 Oktober depan.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, jumlah itu mewakili 17% daripada kira-kira 3.83 juta penduduk negeri ini.

Menurutnya, sambutan utama akan berlangsung di Padang Istiadat Pekan Tuaran dan dijadual dirasmikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

ā€œTuaran akan menjadi venue bagi bahagian Pantai Barat dan pada hari sama sambutan turut diadakan di daerah lain termasuk Kunak, Sandakan, Beaufort, Kudat dan Keningau,ā€ katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Sabah.

Nizam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk HSN Peringkat Negeri Sabah berkata, pelbagai aktiviti disediakan termasuk senamrobik perdana, fun run, pertandingan catur, demonstrasi seni mempertahankan diri, aerobikton, sukan rakyat tradisional serta sukaneka.

Menurutnya, program tahun ini turut mengetengahkan tema berkaitan sukan dan teknologi AI.

Beliau berharap masyarakat di seluruh Sabah mengambil bahagian bagi menyemarakkan budaya hidup sihat serta memperkukuh perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama.

Katanya, aktiviti sukan perlu dijadikan amalan sepanjang masa dan tidak hanya tertumpu kepada sambutan Hari Sukan Negara.

Berita Berkaitan