Minta RM1,500, dua ‘pegawai penguat kuasa’ palsu ditahan
PENAMPANG: Dua lelaki tempatan ditahan selepas disyaki menyamar sebagai pegawai agensi penguat kuasa dan cuba memeras wang RM1,500 daripada seorang lelaki warga asing di Kampung Koidupan Sugud, di sini.
Ketua Polis Daerah Penampang, Supt Sammy bin Newton berkata, dua suspek masing-masing berusia 19 dan 28 tahun itu dipercayai memakai pakaian menyerupai seragam agensi penguat kuasa ketika mendekati mangsa kira-kira pukul 12.10 tengah malam.
Menurutnya, kedua-dua suspek meminta mangsa menunjukkan dokumen pengenalan diri sebelum mendakwa mangsa melakukan kesalahan kerana gagal mengemukakan pasport.
“Mereka kemudian dipercayai meminta bayaran sebanyak RM1,500 daripada mangsa kononnya bagi menyelesaikan kesalahan tersebut.
“Apabila diminta menunjukkan kad kuasa, kedua-dua suspek cuba melarikan diri tetapi berjaya ditahan penduduk kampung sebelum diserahkan kepada polis,” katanya dalam kenyataan.
Polis turut merampas beberapa helai pakaian menyerupai seragam agensi penguat kuasa yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes tersebut.
Sammy berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 384 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana disyaki melakukan pemerasan serta menyamar sebagai penjawat awam.
Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya sentiasa berwaspada apabila berhadapan dengan individu yang mendakwa diri mereka sebagai pegawai penguat kuasa.
“Sebarang kejadian atau perlakuan mencurigakan hendaklah segera dilaporkan kepada pihak polis,” katanya.

