Mustapha diberi taklimat tragedi Lok Buta, tiga kanak-kanak rentung
KOTA KINABALU: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud, menerima taklimat daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia berhubung kebakaran besar di Kampung Lok Buta, Kota Kinabalu, yang meragut nyawa tiga kanak-kanak.
Kejadian awal pagi tadi membabitkan kawasan rumah setinggan atas air dengan anggaran awal sekitar 202 rumah terjejas.
Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 1.40 pagi sebelum kebakaran berjaya dikawal pada 4.30 pagi.
Mangsa yang ditemukan rentung ialah Mohd Asrul Abdullah, 6, Nana Abdullah, 4, dan Nurfarahdilah Mohd Tajihah, 8.
Seramai 55 anggota bomba dikerahkan dalam operasi pemadaman bagi menghalang kebakaran daripada merebak ke kawasan berhampiran.
Pasukan bomba turut meruntuhkan empat rumah bagi membentuk ‘fire break’ sebagai langkah memutuskan laluan api dan mengehadkan kawasan kebakaran.
Mustapha diberi penerangan mengenai operasi berkenaan termasuk keadaan lokasi, jumlah rumah yang terjejas dan perkembangan berkaitan mangsa.
Menurut pihak bomba, jumlah sebenar rumah yang musnah atau terjejas masih belum dimuktamadkan dan sedang melalui proses pengesahan.
Kebakaran itu menjadi antara insiden besar melibatkan penempatan atas air di Kota Kinabalu, dengan operasi pemadaman mengambil masa beberapa jam sebelum keadaan dapat dikawal.

