Noorazli perlu mohon maaf, jangan sampai cetus ketegangan agama – Masiung

KOTA KINABALU : Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan DUN Sabah, Datuk Masiung Banah mendesak Ketua UMNO Bahagian Sepang, Datuk Noorazli Said memohon maaf secara terbuka susulan ucapannya pada PAU 2026 yang didakwa menyentuh sensitiviti penganut Kristian.

Masiung berkata seorang pemimpin sepatutnya mengetahui batas apabila menyentuh agama kerana kenyataan sedemikian boleh mengganggu keharmonian masyarakat.

“Kita menghormati UMNO kerana parti nasional itu adalah rakan dalam pembentukan kerajaan Sabah, tetapi perbuatan Noorazli mempersendakan paderi dan biarawati Katolik berunsur lucah dianggap satu penghinaan kepada penganut Kristian keseluruhannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Masiung turut kesal dengan rujukan kepada Mazmur 129 yang didakwanya digunakan sebagai bahan jenaka dalam ucapan berkenaan.

Menurut ADUN Kuamut itu, masyarakat berbilang agama di Sabah sejak sekian lama hidup dalam suasana saling menghormati dan keharmonian tersebut tidak boleh dikorbankan kerana retorik politik.

Beliau turut menggesa polis mengambil tindakan mengikut undang-undang sekiranya terdapat asas berbuat demikian.

Masiung berkata Noorazli perlu segera tampil memohon maaf secara terbuka tanpa syarat bagi meredakan keadaan.

“Jangan sampai perkara ini mencetuskan ketegangan yang boleh menggugat keharmonian kaum,” katanya.

Kontroversi ucapan berkenaan turut mendapat reaksi beberapa pemimpin politik, termasuk Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, yang sebelum ini menggesa permohonan maaf secara terbuka dibuat.

Berita Berkaitan