Tambah kerusi Parlimen perkasa suara Sabah, Sarawak – PERSANTUN
KOTA KINABALU: Persatuan Kebajikan Santun Kasih Sabah (PERSANTUN) menyifatkan persetujuan secara prinsip Kerajaan Persekutuan untuk menambah kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak sebagai langkah penting bagi memperkukuh suara kedua-dua wilayah di Dewan Rakyat.
Presidennya, Datuk Najib Tay Abdullah berkata perkara itu tidak seharusnya dianggap sebagai retorik politik semata-mata, sebaliknya membuka peluang kepada Sabah dan Sarawak mendapatkan perwakilan lebih seimbang.
Katanya, langkah itu juga menunjukkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi perhatian terhadap tuntutan serta perkembangan Sabah dan Sarawak selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Selepas Singapura meninggalkan Malaysia, julat satu pertiga untuk mengisi jumlah wakil di Parlimen menjadi kosong dan kekosongan itu selayaknya diisi oleh wakil kita dan Sarawak.
“Tahniah kepada Perdana Menteri dan kita amat berharap perkara ini dapat direalisasikan secepat mungkin,” katanya dalam kenyataan.
Najib turut menghargai komitmen Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan kepimpinan negeri dalam memperjuangkan perkara berkaitan MA63, termasuk isu penambahan kerusi Parlimen.
Menurutnya, faktor keluasan geografi Sabah serta jumlah pengundi di kawasan tertentu turut menunjukkan keperluan supaya aspek persempadanan dan jumlah kerusi dinilai semula.
Beliau berkata Sabah dan Sarawak secara bersama seharusnya mempunyai sekurang-kurangnya satu pertiga daripada keseluruhan kerusi Parlimen, berdasarkan kedudukan kedua-dua wilayah ketika pembentukan Malaysia pada 1963.
“Jika penambahan ini menjadi kenyataan, ia mampu menjadi titik tolak kepada kemajuan negeri, peruntukan serta urusan persempadanan Parlimen.
“Sudah tentu Sabah secara amnya mendapat banyak manfaat dan kita akan memperkasakan lagi suara kita di Dewan Rakyat,” katanya.
Anwar sebelum ini mengumumkan kerajaan secara prinsip bersetuju dengan penambahan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak ketika menghadiri mesyuarat berkaitan pelaksanaan MA63 di Sabah.

