3,000 kerja minyak dan gas ditawar kepada rakyat Sabah
KOTA KINABALU: Lebih 3,000 peluang pekerjaan dalam sektor minyak dan gas ditawarkan oleh 30 majikan menerusi Karnival Kerjaya MYFutureJobs X Oil & Gas Kota Kinabalu 2026.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, tawaran itu memberi peluang kepada lebih ramai rakyat Sabah, khususnya golongan muda dan pencari kerja, menceburi industri yang semakin berkembang di negeri itu.
Katanya, perubahan struktur ekonomi dan keperluan industri turut mengubah corak pekerjaan di Sabah sehingga meningkatkan permintaan terhadap tenaga kerja berkemahiran.
“TVET tidak lagi boleh dianggap sekadar pilihan, sebaliknya perlu diterima sebagai pilihan arus perdana dalam usaha melahirkan tenaga kerja berkemahiran yang mampu membentuk masa depan Sabah,” katanya.
Ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Masidi Manjun.
Hajiji berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM39.24 juta tahun ini menerusi Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi bagi pembangunan modal insan termasuk TVET, STEM, inovasi, teknologi digital serta minyak dan gas.
Katanya, data Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan pasaran buruh negeri itu terus bertambah baik, dengan kira-kira 1.90 juta tenaga buruh direkodkan pada suku kedua 2026.
Beliau berkata, usaha Kementerian Sumber Manusia dan Perkeso pula menyaksikan 71,821 penempatan pekerjaan direkodkan di Sabah antara 2020 hingga 24 Julai 2026.
Menurutnya, institusi pengajian tinggi dan pusat latihan kemahiran perlu terus memperluaskan program berkaitan minyak dan gas supaya graduan serta pelatih mempunyai kemahiran selaras dengan kehendak industri.

