Pelajar perlu kuasai AI seiring perubahan pendidikan

PUTATAN: Pelajar perlu menguasai teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) bagi menyesuaikan diri dengan perubahan landskap pendidikan, kata Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB), Datuk Ahmad Sah Sahari.

Beliau berkata, kemahiran teknologi semakin penting bagi membantu pelajar memenuhi keperluan pembelajaran di pelbagai peringkat, termasuk mendapatkan sumber serta rujukan tambahan dengan lebih berkesan.

“Setiap pelajar perlu menerima perubahan terkini untuk mencari rujukan tambahan dengan pantas dan tersusun melalui AI,” katanya ketika menyaksikan penyampaian komputer riba kepada 18 pelajar sekolah menengah di sini, kelmarin.

Komputer riba itu disumbangkan Titijaya Land Bhd dan disampaikan wakil korporat syarikat berkenaan, Dato Toisin Ganto kepada 18 pelajar terpilih yang bakal meneruskan pendidikan ke peringkat lebih tinggi.

Ahmad Sah yang juga Wakil Rakyat Petagas turut meminta ibu bapa memantau pergaulan anak masing-masing bagi mengelakkan mereka terjebak dalam kegiatan tidak bermoral. Katanya, pendidikan merupakan aset bernilai yang mampu menentukan masa depan seseorang.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Titijaya Land atas sumbangan berkenaan dan berharap komputer riba itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi membantu penerima meningkatkan pencapaian akademik.

Menurut Ahmad Sah, meskipun komputer riba bukan penentu mutlak kejayaan seseorang pelajar, kemudahan teknologi itu mampu menjadi alat pembelajaran penting dalam usaha mencapai kecemerlangan sekiranya digunakan secara betul dan bertanggungjawab.

Berita Berkaitan