11.45 tan serbuk ketum dirampas
TUARAN: Lebih 11 tan serbuk ketum bernilai kira-kira RM1.145 juta dirampas selepas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPD Tuaran menyerbu sebuah premis di Jalan Tuaran, Khamis.
Operasi kira-kira jam 6 pagi itu dilakukan hasil maklumat risikan sebelum pemeriksaan terhadap premis dan sebuah lori menemukan sejumlah besar serbuk daun ketum yang sudah diproses serta dibungkus dipercayai untuk pengedaran.
Keseluruhan serbuk ketum dirampas dianggarkan seberat 11,450 kilogram atau 11.45 tan, manakala nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dianggarkan melebihi RM1.4 juta.
Dalam serbuan itu, tiga lelaki berusia antara 23 hingga 46 tahun dan seorang wanita berusia 28 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
Ujian saringan awal terhadap keempat-empat individu berkenaan mendapati mereka negatif dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, manakala siasatan bersama JSJN Sabah diteruskan bagi mengenal pasti baki individu yang dipercayai terbabit dengan sindiket berkenaan.
PPM Wilayah 4 Sabah berkata, risikan dan kerjasama strategik bersama agensi penguat kuasa akan terus diperkasakan bagi membanteras kegiatan menyalahi undang-undang serta penyalahgunaan ketum.

