Penduduk Kg Pondo demo depan DBKK, tuntut kampung diwartakan
KOTA KINABALU: Sekumpulan penduduk Kampung Pondo, Pulau Gaya, bersama kanak-kanak dan pelajar sekolah berhimpun di hadapan bangunan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), hari ini, bagi membantah cadangan perobohan kediaman mereka.
Menerusi rakaman video yang dikongsikan MyCommunity News Sabah di TikTok, penduduk terbabit dilihat membawa sepanduk menuntut supaya kampung berkenaan diwartakan sebagai kawasan penempatan.
Menurut hantaran itu, penduduk yang sebelum ini menyatakan kesediaan akur dengan arahan kerajaan negeri kini mengubah pendirian dengan menuntut pewartaan kampung berkenaan.
Apa yang turut mencuri perhatian ialah kehadiran kanak-kanak dan pelajar berpakaian seragam sekolah dalam demonstrasi berkenaan.
Rakaman itu turut memaparkan seorang lelaki memegang dokumen sambil menyampaikan kenyataan di hadapan kumpulan penduduk terbabit.
Perhimpunan itu berlangsung susulan kesediaan kerajaan negeri mempertimbangkan penangguhan sementara perobohan kediaman tanpa kebenaran di kampung berkenaan bagi memberi laluan kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Terdahulu, Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri prihatin terhadap kebajikan pelajar, namun tindakan penguatkuasaan tetap perlu mematuhi undang-undang.
Beliau turut menjelaskan kawasan berkenaan terletak dalam kawasan peranginan dan kerajaan negeri sudah lama merancang tindakan pemindahan atau perobohan struktur kediaman terbabit.

