Pos Laju perkukuh sokongan logistik kepada PKS Sabah

KOTA KINABALU: Pos Laju mempergiat usaha memperkukuh ekosistem perniagaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Sabah menerusi penerokaan kerjasama strategik bersama SME Association of Sabah (SME Sabah).

Inisiatif itu bertujuan menyediakan penyelesaian logistik yang lebih cekap, praktikal dan bersesuaian dengan keperluan usahawan tempatan, sekali gus menyokong pertumbuhan sektor PKS di negeri ini.

Pengurus Akaun Sabah dan Pembangunan Perniagaan Pos Malaysia, Reynold Valentine Chin berkata, kecekapan perkhidmatan penghantaran merupakan antara elemen penting dalam memastikan kelancaran operasi dan meningkatkan daya saing sesebuah perniagaan.

“Pos Laju komited untuk menjadi rakan logistik yang boleh diharap oleh PKS di Sabah.

“Melalui kerjasama dengan SME Sabah, kami mahu menawarkan penyelesaian yang praktikal, daripada pengambilan bungkusan di premis hingga akaun korporat dengan pengebilan yang lebih mudah,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Terdahulu, beliau bersama Pengurus Jualan Wilayah Sabah dan Sarawak, Gwen Fung Siew Liew mengadakan kunjungan hormat kepada Presiden SME Sabah, Dr Tan Hui San (Deledda).

Turut hadir dua Ahli Majlis SME Sabah, Christopher Martin Tan Sai Khyung dan Eric Yong.

Reynold berkata, pihaknya menawarkan pelbagai kemudahan termasuk liputan penghantaran seluruh negara, pengambilan bungkusan berjadual, tempahan dalam talian, penjejakan penghantaran serta kemudahan pengebilan berpusat menerusi akaun korporat.

Katanya, kunjungan itu merupakan langkah awal ke arah memperincikan pakej perkhidmatan dan potensi tawaran keistimewaan kepada ahli SME Sabah.

SME Sabah turut menyambut baik inisiatif berkenaan yang berpotensi meningkatkan kecekapan pengurusan logistik, memperluas akses kepada perkhidmatan penghantaran serta membantu usahawan mengembangkan perniagaan masing-masing.

Untuk maklumat lanjut mengenai perkhidmatan penghantaran dan penyelesaian logistik Pos Laju bagi sektor PKS di Sabah, orang ramai boleh menghubungi Reynold Valentine Chin di talian 016-939 0002.

Berita Berkaitan