Pengunjung persoal dakwaan caj RM10 guna kerusi di Pantai Tanjung Aru
KOTA KINABALU: Dakwaan mengenai kutipan bayaran RM10 bagi penggunaan kemudahan meja dan kerusi di Pantai Tanjung Aru menimbulkan persoalan dalam kalangan pengguna media sosial.
Isu tersebut dibangkitkan seorang pengguna Threads yang ingin mendapatkan kepastian sama ada kemudahan berkenaan merupakan milik persendirian atau kemudahan awam di bawah seliaan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).
Menerusi hantaran itu, individu terbabit turut berkongsi dua gambar meja dan kerusi konkrit yang terdapat di kawasan rekreasi berkenaan.
Individu berkenaan mendakwa dikenakan bayaran RM10 ketika mengunjungi lokasi tersebut sebelum memilih untuk duduk di tembok.
Meninjau ruangan komen, terdapat pengguna yang berpendapat kemudahan itu sepatutnya disediakan secara percuma kepada orang ramai, selain menyarankan agar perkara tersebut dirujuk kepada DBKK.
Namun demikian, terdapat juga pandangan bahawa kemudahan berkenaan mungkin milik persendirian.
Sehubungan itu, penjelasan pihak berkuasa tempatan diperlukan bagi memastikan status pemilikan kemudahan tersebut serta kesahihan kutipan bayaran berkenaan.
Pantai Tanjung Aru merupakan antara lokasi rekreasi dan destinasi pelancongan popular di Kota Kinabalu yang menjadi tumpuan penduduk tempatan serta pelancong.

