237 anggota kontinjen Tuaran terima suntikan semangat Ghazali

TUARAN: Seramai 237 anggota kontinjen Tuaran menerima suntikan semangat menerusi sumbangan daripada Datuk Mohammad Ghazali Hajiji menjelang Pesta Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pendidikan Sabah (PSKPP Sabah) 2026.

Ghazali yang juga Penasihat Persatuan Permuafakatan Pendidikan Daerah Tuaran berkata, sumbangan berkenaan merupakan penghargaan terhadap komitmen warga pendidik yang membahagikan masa antara tugas hakiki dan persiapan menghadapi kejohanan.

Menurutnya, pengorbanan jurulatih serta pengurus pasukan dalam memastikan kelancaran latihan dan kebajikan peserta juga wajar dihargai.

“Di sebalik setiap pasukan yang bersedia untuk bertanding, ada masa, tenaga dan pengorbanan ramai pihak yang wajar kita hargai,” katanya pada Majlis Pertemuan dan Penyerahan Sumbangan kepada Kontinjen Tuaran di sini pada Rabu.

Kontinjen Tuaran bakal menyertai 14 acara dan kategori pada kejohanan yang dijadualkan berlangsung dari 5 hingga 10 Disember ini, selain menjadi tuan rumah bagi acara bola tampar wanita.

Ghazali yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup turut mengingatkan peserta supaya menjaga disiplin, kesihatan dan keselamatan serta mengutamakan semangat kesukanan sepanjang kejohanan.

“Walaupun saudara dan saudari menyertai acara yang berbeza, kita membawa nama daerah yang sama. Saling menyokong, raikan usaha rakan dan kekalkan semangat sebagai satu Kontinjen Tuaran,” katanya.

Empat lagi daerah yang turut menjadi tuan rumah kejohanan berkenaan ialah Kota Kinabalu, Penampang, Kota Belud dan Papar.

Turut hadir Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Tuaran (Sektor Perancangan), Haji Junaidi bin Haji Daya, wakil Kesatuan Guru-Guru Kerajaan Sabah (KGKS), pegawai pendidikan, pengurus pasukan, jurulatih dan atlet.

Berita Berkaitan