Peniaga Pekan Menggatal minta DBKK beri penjelasan terperinci
KOTA KINABALU: Sekumpulan pemilik kedai, penyewa dan pengendali perniagaan di Pekan Menggatal meminta Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) memberikan penjelasan terperinci berhubung cadangan pembangunan semula kawasan berkenaan.
Jurucakap mereka, Michael Wong berkata, kumpulan itu mahu mengetahui proses kelulusan, status perancangan serta agensi kerajaan yang terlibat dalam projek berkenaan.
Menurutnya, pembangunan itu berpotensi memberi kesan terhadap parkir, akses pejalan kaki, jalan raya, saliran dan kemudahan infrastruktur lain di pekan tersebut.
“Kami tidak menentang pembangunan, tetapi sebarang inisiatif yang mempengaruhi landskap Pekan Menggatal wajar dibuat melalui penilaian teliti, dikomunikasikan secara telus dan dilaksanakan dengan mengambil kira keselamatan awam,” katanya.
Kumpulan itu yang diwakili peguam Chong Kian Meng turut mengemukakan perwakilan rasmi kepada DBKK bagi meminta pendedahan dokumen dan perundingan.
Antara dokumen diminta ialah pelan tapak, pelan pembangunan yang diluluskan, cadangan perubahan kawasan parkir dan pejalan kaki, penilaian trafik, kajian risiko banjir dan saliran serta pelan utiliti.
Wong berkata mereka turut mahu mengetahui sama ada pemilik kedai dan penyewa telah dirunding sebelum sebarang kelulusan diberikan.
Katanya, gangguan pembinaan seperti bunyi, habuk, getaran serta kesesakan lalu lintas juga perlu dinilai kerana boleh menjejaskan operasi perniagaan.
Kumpulan itu turut mencadangkan pasukan profesional multidisiplin bebas dilantik untuk menjalankan penilaian menyeluruh terhadap cadangan pembangunan tersebut.

