CIS agih dividen RM40 juta selepas catat hasil RM541 juta
KOTA KINABALU: Cement Industries (Sabah) Sdn Bhd (CIS) mengagihkan dividen berjumlah RM40 juta kepada pemegang saham bagi tahun kewangan 2025 selepas mencatat prestasi kewangan yang kukuh.
Bagi tempoh berkenaan, CIS merekodkan hasil jualan sebanyak RM541 juta dengan keuntungan sebelum cukai berjumlah RM81 juta.
Daripada keseluruhan dividen itu, Sabah Economic Development Corporation (SEDCO) menerima RM19.9 juta, Sabah Ports Authority (SPA) RM7.9 juta, manakala Tasek Corporation Berhad menerima RM12 juta.
Dividen diserahkan Pengurus Besar CIS, Sumardi Mohd Yusof selepas Mesyuarat Lembaga Pengarah syarikat di Hyatt Regency Hotel, Kota Kinabalu.
Pengerusi CIS, Datuk Japlin Akim bersama ahli Lembaga Pengarah turut menyaksikan penyerahan tersebut.
CIS berkata prestasi itu mencerminkan kedudukan kewangan syarikat yang kekal kukuh dalam menghadapi cabaran industri, selain keupayaan memberikan pulangan kepada pemegang saham.
Syarikat itu turut menegaskan komitmen untuk meningkatkan kecekapan operasi, memperkukuh tadbir urus korporat serta meneruskan strategi pertumbuhan mampan.
CIS yakin asas kewangan yang kukuh dan hala tuju strategik yang jelas akan menyokong pertumbuhan jangka panjang serta meningkatkan sumbangannya kepada pembangunan ekonomi Sabah.

