Penunggang motosikal maut selepas terbabas di Jalan Bundusan
PENAMPANG: Seorang penunggang motosikal lelaki tempatan berusia 22 tahun maut selepas motosikal ditunggangnya dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas di KM1.8, Bulatan 360, Jalan Bundusan, awal pagi tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Penampang, ASP Arisanti Aziz berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 4.10 pagi ketika mangsa menunggang motosikal bersendirian dari arah Donggongon menuju ke Jalan Bundusan.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan ketika melalui bulatan sebelum terbabas.
Mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.
Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Saparia Ladoni atau mana-mana balai polis berhampiran.
Polis turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mengutamakan keselamatan, mematuhi peraturan serta had laju dan meningkatkan kewaspadaan khususnya ketika melalui selekoh dan bulatan.

