Wan Rohaimi akui angin kencang jejaskan rentak Penang
KOTA KINABALU: Pengendali Penang FC, Wan Rohaimi Wan Ismail mengakui angin kencang menjadi cabaran besar pasukannya ketika tewas 0-2 kepada Sabah FC di Stadium Likas.
Menurutnya, angin kuat terutama pada babak pertama menyebabkan bola sukar dihantar dengan baik, sekali gus menjejaskan percaturan pasukan.
“Masalah kita bukan hujan sebenarnya, tetapi angin. Kita tendang bola pun tak naik,” katanya.
Namun, Wan Rohaimi menegaskan kekalahan itu tidak boleh diletakkan sepenuhnya kepada faktor cuaca kerana kesilapan pemain turut menyebabkan Penang dibolosi.
Katanya, keadaan padang yang becak pada separuh masa kedua turut menghadkan pilihan taktikal pasukan.
Penang kini mengalihkan fokus kepada aksi Piala FA menentang Melaka FC, Rabu depan.

