Polis rampas minuman keras, pelbagai produk bernilai RM16.88 juta di Sabah
PAPAR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) merampas minuman keras dipercayai tidak bercukai serta pelbagai produk makanan, kesihatan dan kosmetik bersama kenderaan bernilai keseluruhan RM16.88 juta menerusi Ops Taring Alpha 2 dan Ops Taring Alpha 5 di Sabah, bulan lalu.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, tiga lelaki warga asing berusia lingkungan 30-an hingga 40-an turut ditahan dalam enam operasi berasingan yang dijalankan dari 22 hingga 27 Oktober lalu.
Menurutnya, operasi berkenaan dilaksanakan di sekitar Kota Kinabalu, Manggatal, Inanam, Putatan, Tamparuli dan Penampang hasil risikan terhadap kegiatan penyimpanan, penjualan serta pengedaran barangan yang dipercayai menyalahi undang-undang.
âSiasatan awal mendapati premis yang diserbu dipercayai digunakan sebagai lokasi penyimpanan sementara, penjualan dan pengedaran minuman keras serta pelbagai produk makanan, kesihatan dan kosmetik.
âTerdapat premis yang menjalankan aktiviti perniagaan berkenaan antara dua hingga 16 tahun dan siasatan lanjut sedang dipergiat bagi mengenal pasti rantaian bekalan terbabit,â katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Pasukan Gerakan Am, di sini, hari ini.
Mohd Yusri berkata, menerusi Ops Taring Alpha 2, polis merekodkan rampasan berjumlah RM16.20 juta termasuk 433,296 tin minuman keras di Penampang dan 1,485 botol minuman keras bernilai RM742,500 di Manggatal.
Katanya, polis turut merampas 22,320 tin minuman keras bersama tiga lori bernilai RM1.4 juta dalam operasi di Tamparuli.
Sementara itu, Ops Taring Alpha 5 menyaksikan rampasan barangan bernilai RM675,112 menerusi tiga operasi membabitkan pelbagai produk makanan, kesihatan dan kosmetik.
Antara barangan dirampas ialah 577 produk makanan proses sejuk dan beku serta 251 produk kesihatan dan kosmetik di Centre Point, Kota Kinabalu yang dipercayai berasal dari Filipina.
Di Putatan pula, polis merampas 526 peket produk makanan sejuk beku, 313 unit produk kesihatan dan kosmetik, 2,007 produk makanan proses serta 14,000 peket pelbagai jenis produk makanan proses.
Beliau berkata, kes berkaitan minuman keras disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, manakala kesalahan imigresen disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Produk makanan, kesihatan dan kosmetik yang dirampas pula diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) untuk tindakan lanjut.
Dalam perkembangan sama, Mohd Yusri berkata, Ops Taring Alpha 2 di Sabah secara keseluruhan merekodkan 30 kes dengan 62 tangkapan serta nilai rampasan melebihi RM63.53 juta.
Katanya, Ops Taring Alpha 5 pula mencatatkan lapan kes dan satu tangkapan membabitkan rampasan bernilai RM1.8 juta.
Sementara itu, Perisikan Siasatan Khas JKDNKA merekodkan 298 kes dengan 493 tangkapan serta nilai rampasan keseluruhan RM352.54 juta sehingga Oktober lalu.

