Shafie cabar PAC siasat pemilik PDP, kontraktor Pan Borneo Sabah

KOTA KINABALU: Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mahu siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) terhadap projek Pan Borneo Sabah diperluaskan sehingga merangkumi persoalan siapa sebenarnya berada di sebalik syarikat Rakan Pelaksana Projek (PDP) yang dilantik pada 2016.

Beliau berkata, siasatan tidak boleh hanya tertumpu kepada keputusan menamatkan model PDP pada 2018, sebaliknya perlu meneliti bagaimana syarikat berkenaan dipilih, siapa pemilik sebenarnya dan bagaimana kontraktor projek dilantik.

Gesaan itu dibuat susulan kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, yang mahu PAC menyiasat asas serta implikasi penamatan PDP.

“Saya alu-alukan. Rakyat Sabah mahu jawapan yang menyeluruh, bukannya dipilih-pilih,” katanya dalam kenyataan media.

Shafie berkata, PAC perlu menyemak keputusan Jemaah Menteri Persekutuan pada 19 Disember 2018 yang menamatkan model PDP, selain meneliti pembayaran RM700.99 juta kepada PDP dan jumlah penyelesaian RM155 juta selepas penamatan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan siasatan juga mesti merangkumi proses pelantikan PDP sejak 2016 dan keputusan pemilihan kontraktor bagi pakej projek.

Siapa pemilik sebenar PDP?

Menurut Shafie, laporan The Edge pada April 2016 menyatakan Borneo Highway PDP Sdn Bhd (BHPSB) dimiliki 60 peratus oleh Warisan Tarang Construction Sdn Bhd dan 40 peratus oleh usaha sama UEM–MMC.

Beliau turut merujuk laporan bahawa Shahelmey Yahya merupakan Pengarah Urusan BHPSB ketika itu serta mempunyai kedudukan dalam Pemuda UMNO dan Warisan Tarang.

Bagaimanapun, Shafie turut mengambil maklum penafian Shahelmey pada April 2024 bahawa beliau memiliki PDP, dengan penjelasan bahawa beliau hanya menerima gaji sebagai pengarah urusan antara 2016 hingga 2018.

Shafie berkata, PAC perlu mendapatkan dokumen bagi mengenal pasti pemilik benefisial, pengarah dan pemegang saham BHPSB sepanjang tempoh 2016 hingga 2019.

Beliau juga mahu diketahui sama ada terdapat hubungan antara pemilik atau pengarah PDP dengan pemimpin parti politik, penyandang jawatan awam, perunding atau subkontraktor projek.

“Saya tidak mendakwa sesiapa melakukan kesalahan. Tetapi PAC boleh mendapatkan dokumen yang tidak dapat diperoleh orang awam,” katanya.

Kontraktor tidak layak, mengapa dilantik?

Shafie turut membangkitkan penemuan Laporan Ketua Audit 2019 mengenai pakej WP21 Lahad Datu Bypass.

Menurutnya, laporan itu mendapati semua 10 petender tidak memenuhi sekurang-kurangnya satu syarat kelayakan minimum, namun kontraktor yang dipilih tidak mempunyai pengalaman membina jalan.

Beliau mempersoalkan sama ada masalah sama turut berlaku dalam pakej lain yang diberikan oleh PDP.

“Jika pelantikan atau prestasi mereka bermasalah, mengapa ada yang dikekalkan atau dilantik semula selepas penamatan PDP?” soalnya.

Beliau berkata, keputusan berkenaan perlu disiasat bersama pihak yang bertanggungjawab membuat pelantikan.

Pampasan tanah Sabah dua kali ganda?

Shafie turut menggesa PAC menyiasat perbezaan kos pampasan tanah projek Pan Borneo Sabah dan Sarawak yang menurut pengiraan kasarnya menunjukkan jurang hampir dua kali ganda bagi setiap hektar.

Berdasarkan angka yang dipetiknya daripada laporan audit, pampasan di Sabah melibatkan RM1.447 bilion bagi 2,237.966 hektar, manakala Sarawak merekodkan akaun pampasan RM700 juta bagi 2,373.82 hektar.

Katanya, perbezaan itu memerlukan penjelasan mengenai kaedah penilaian, kadar pampasan dan identiti penerima pampasan terbesar.

Beliau turut mahu PAC meneliti sama ada terdapat tanah yang dibeli selepas jajaran lebuh raya diumumkan atau mempunyai hubungan dengan pihak berkepentingan.

Selain itu, Shafie menggesa siasatan merangkumi kehilangan 77,299 fail projek, pelaksanaan 19 pakej kerja sebelum kelulusan EIA serta pembayaran perunding berjumlah RM448.36 juta.

Katanya, PAC perlu memanggil PDP, kontraktor dan perunding, bukan sekadar wakil kementerian atau jabatan kerajaan.

Bagi Shafie, semua keputusan penting sepanjang pelaksanaan projek perlu diperiksa supaya rakyat Sabah mendapat gambaran menyeluruh mengenai punca kelewatan, pemilihan kontraktor dan penggunaan dana awam.

Berita Berkaitan