Program Ikan Rakyat Sabah perkukuh keterjaminan makanan, bantu nelayan
LABUAN: Program Ikan Rakyat Sabah (IRS) yang dilaksanakan Sabah Fish Marketing Sdn Bhd (SAFMA) terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh keterjaminan makanan menerusi penyediaan bekalan ikan segar dan berkualiti pada harga mampu milik.
Pengurus Besar SAFMA, Burhan Haji Japar berkata, program itu diwujudkan bagi memastikan semua lapisan masyarakat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana, mendapat akses kepada sumber protein berkualiti tanpa dibebani peningkatan kos sara hidup.
Beliau berkata, IRS turut membantu meningkatkan pendapatan nelayan tempatan melalui pembelian terus hasil tangkapan mereka, sekali gus mewujudkan rantaian bekalan yang lebih cekap dan mampan.
“Program ini memastikan bekalan ikan sentiasa mencukupi, segar dan selamat dimakan, di samping memperkukuh ekonomi komuniti nelayan serta menyokong pembangunan industri perikanan Sabah,” katanya ketika menyertai Program Road to MAHA 2026 Labuan di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan.
Menurutnya, SAFMA akan terus memperluaskan pelaksanaan IRS menerusi pembangunan kemudahan penyimpanan sejuk beku, bekalan ais blok, penghasilan produk nilai tambah, peluasan rangkaian pemasaran serta pelaksanaan inisiatif Zero Waste Fisheries.

