Pulang berkebun, warga emas maut digilis kereta api
TENOM: Perjalanan pulang selepas berkebun berakhir tragedi apabila seorang lelaki warga emas maut selepas dipercayai digilis kereta api di landasan kereta api di sini, hari ini.
Mangsa berusia 63 tahun yang dilaporkan mempunyai masalah pendengaran dipercayai menaiki troli kayu buatan sendiri dari Kampung Pangi menuju ke Pekan Tenom sebelum terbabit dalam kejadian itu.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada polis pada jam 1.20 tengah hari.
Susulan itu, enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom diketuai Pegawai Bomba Kanan I Mohammad Herryzan dikerahkan ke lokasi kejadian.
Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati mangsa berada di bawah gerabak kereta api yang dalam perjalanan dari Beaufort menuju ke Tenom.
Pasukan bomba turut berdepan kesukaran sampai ke lokasi kejadian berikutan laluan terhad dan terpaksa mendapatkan bantuan penduduk kampung menggunakan troli bermotor buatan sendiri.
Mangsa berjaya dikeluarkan dari bawah gerabak sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Lelaki terbabit mengalami patah tulang kaki dan badan serta kecederaan di kepala.
Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, manakala operasi tamat pada jam 2.04 petang.

