Roboh rumah Kg Pondo: Warisan Putatan tuntut penjelasan Hajiji

KOTA KINABALU: Warisan Bahagian Putatan menggesa Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor tampil memberikan penjelasan rasmi berhubung tindakan perobohan kediaman penduduk Kampung Pondo, Pulau Gaya.

Bahagian itu turut meminta kerajaan negeri menjelaskan status dan nasib penduduk yang terjejas, selain memastikan maklumat yang disampaikan selaras dengan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

Isu perobohan berkenaan turut mendapat perhatian Naib Presiden Parti Warisan, Datuk Junz Wong.

Dalam kenyataan media hari ini, Warisan Putatan menegaskan pendiriannya adalah mempertahankan hak, kepentingan dan kebajikan penduduk sah Kampung Pondo, bukannya mempertahankan pendatang tanpa izin (PTI).

“Isu PTI tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menyamaratakan keseluruhan penduduk Kampung Pondo tanpa proses pengesahan yang sewajarnya,” menurut kenyataan itu.

Katanya, agensi penguatkuasaan yang mempunyai bidang kuasa perlu dilibatkan bagi mengesahkan status penduduk sekiranya timbul isu berkaitan PTI.

Warisan Putatan turut menggesa kerajaan negeri dan DBKK memberikan penjelasan yang telus dan konsisten, selain mengemukakan penyelesaian kepada penduduk sah yang terjejas akibat perobohan berkenaan.

Bahagian itu menegaskan bahawa penguatkuasaan undang-undang tidak seharusnya mengabaikan aspek keadilan, kemanusiaan serta hak dan kebajikan rakyat yang sah.

Berita Berkaitan