Roboh Kg Pondo: Gagasan Rakyat Tambunan sokong ketegasan Hajiji
KOTA KINABALU: Tindakan kerajaan Sabah merobohkan penempatan di Kampung Pondo, Pulau Gaya, mendapat sokongan penuh Gagasan Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan.
Ketua Penyelarasnya, Datuk Victor Peter Paut berkata, beliau bersama ahli jawatankuasanya menyokong ketegasan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dalam menangani isu penempatan berkenaan.
Katanya, tindakan itu sepatutnya dilaksanakan sejak dahulu lagi dan wajar mendapat sokongan semua pihak.
“Saya masih ingat lagi pada tahun 1972 tidak ada sebuah pun rumah di kawasan perairan berkenaan (Kg Pondo).
“Ianya bukan perkara baharu kerana notis tindakan perobohan sudah beberapa kali diberikan sebelum ini,” katanya.
Victor berkata, kerajaan tidak mengambil tindakan itu sesuka hati, sebaliknya notis perobohan sudah beberapa kali dikeluarkan sebelum ini.
Menurutnya, kawasan berkenaan adalah kawasan yang diwartakan kerajaan dan arahan berpindah perlu dipatuhi.
Pada Selasa lalu, Hajiji dilaporkan mempertimbangkan penangguhan tindakan perobohan di Kampung Pondo bagi memberi kelonggaran kepada penduduk yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

