Rusdin tegaskan kekal setia bersama KDM, sokong kepimpinan Priscella

KOTA KINABALU: ADUN Paginatan, Datuk Rusdin Riman menegaskan kesetiaannya kepada Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan akan terus mendukung kepimpinan presidennya, Priscella Peter.

Penegasan itu dibuat susulan kenyataannya mengenai kedudukannya dalam kerajaan ketika menghadiri sebuah program di Ranau baru-baru ini, yang menurut Rusdin tidak seharusnya ditafsirkan sebagai perubahan pendirian politik.

“Kesetiaan saya tidak berbelah bahagi terhadap KDM dan Presiden parti, Priscella Peter.

“Kenyataan saya sebelum ini cerminan iltizam saya untuk memastikan kawasan DUN Paginatan terus terpelihara dan tidak terpinggir daripada arus pembangunan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rusdin berkata beliau menghormati setiap keputusan kepimpinan tertinggi KDM, termasuk mengenai hala tuju parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Menurutnya, tanggungjawab sebagai wakil rakyat menuntut beliau terus memperjuangkan kepentingan penduduk Paginatan, khususnya berkaitan pembangunan, tanpa mengetepikan keputusan parti.

“Saya menghormati dan menjunjung tinggi keputusan parti dan akan terus melangkah seiring dengan kepimpinan KDM,” katanya.

Pendirian Rusdin mendapat perhatian selepas KDM pada Ogos lalu mengumumkan penarikan sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Pada ketika itu, Rusdin dilaporkan menyatakan komitmen untuk terus berkhidmat kepada masyarakat Paginatan dan mengutamakan kestabilan kerajaan bagi meneruskan agenda pembangunan. 

Ketika mengumumkan keputusan tersebut, Priscella berkata KDM mahu memperjelaskan hala tuju parti menjelang PRU16 dan terbuka meneroka kerjasama dengan parti tempatan lain. Beliau turut menyebut Warisan dan STAR sebagai antara parti yang berpotensi untuk diajak berbincang, tetapi menegaskan ketika itu belum ada keputusan muktamad mengenai sebarang pakatan. 

Rusdin kini merupakan satu-satunya wakil KDM dalam Dewan Undangan Negeri Sabah menerusi kerusi Paginatan. 

Berita Berkaitan