PPM, SPRM bongkar penyeludupan rokok RM4.89 juta di Sandakan
SANDAKAN: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membongkar kegiatan penyeludupan rokok tidak bercukai di Sungai Seguntur dengan rampasan bernilai RM4.89 juta.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Ahmad Amri Abd Rahman berkata serbuan dilakukan di sebuah jeti tidak berdaftar kira-kira 1.30 pagi pada 15 Sept hasil maklumat dan risikan.
Katanya, seorang lelaki berusia 45 tahun ditahan dan 1.82 juta batang rokok tidak bercukai pelbagai jenama dipercayai diseludup dari negara jiran dirampas.
Polis turut merampas sebuah lori bonded tiga tan, bot laju serta tiga enjin sangkut Yamaha 200HP, menjadikan nilai rampasan pertama RM2.564 juta.
Maklumat susulan kemudian membawa pasukan serbuan kepada sebuah lagi bot laju yang disembunyikan di celah pokok bakau di Sungai Seguntur.
Pemeriksaan menemukan 1.73 juta batang rokok tidak bercukai bersama bot dan tiga enjin sangkut Yamaha 200HP, dengan nilai rampasan kedua RM2.326 juta.
Keseluruhannya, 3.55 juta batang rokok tidak bercukai bernilai RM4.89 juta dirampas dalam operasi di Sandakan.
Dalam operasi berasingan pada 14 Sept, PPM turut merampas 43,200 tin minuman keras disyaki tidak bercukai bernilai RM478,506 dari sebuah gudang di Kampung Dambai, Jalan Tuaran Bypass, Kota Kinabalu.
Tiga serbuan itu membawa kepada rampasan keseluruhan bernilai RM5.37 juta.
Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) dan 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

