Sabah FA Wanita belasah Rovers FC 13-0, buka kempen AWCL penuh bergaya

KOTA KINABALU: Sabah FA Wanita membuka kempen kelayakan Liga Juara-Juara Wanita AFC (AWCL) 2026/27 dengan kemenangan bergaya selepas membelasah Rovers FC 13-0 dalam aksi Kumpulan A di Stadium Likas, malam tadi.

Skuad kendalian Bobby Gonzales mendominasi perlawanan sejak awal dengan Ayuri Terawaki membuka jaringan pada minit ke-11 sebelum Mai-Lisa Atis menggandakan kelebihan pada minit ke-24.

Sabah terus mengasak dengan Atis menambah jaringan pada minit ke-34, manakala Enzi Broussard turut menemui sasaran untuk memberikan tuan rumah kelebihan selesa.

Broussard muncul antara watak utama pesta gol Sabah apabila terus menggempur gawang wakil Guam itu pada babak kedua dan menamatkan perlawanan dengan lima jaringan.

Atis dan Terawaki turut menambah jaringan, manakala An Se-bin mencatat nama dalam senarai penjaring ketika Sabah langsung tidak memberi ruang kepada Rovers FC untuk bangkit.

Kemenangan 13-0 memberikan Sabah tiga mata penting dan permulaan terbaik dalam usaha memburu tiket ke pusingan seterusnya kelayakan AWCL.

Sabah akan meneruskan saingan Kumpulan A menentang Rajshahi Stars pada 20 Ogos.

Berita Berkaitan