Sabah teliti pusat persinggahan khas untuk komuniti pelauh
LAHAD DATU: Kerajaan Sabah sedang memperincikan cadangan mewujudkan sebuah pusat persinggahan khas bagi komuniti pelauh atau komuniti laut tanpa negara (stateless) sebagai langkah menangani isu sosial yang semakin ketara di beberapa kawasan negeri ini.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, penyelesaian isu berkenaan tidak boleh bergantung kepada penguatkuasaan semata-mata, sebaliknya memerlukan pendekatan menyeluruh melibatkan pendidikan dan kebajikan.
Beliau berkata, pendidikan akan menjadi antara fokus utama di pusat berkenaan bagi membantu membentuk masa depan golongan itu serta mengelakkan mereka daripada terjebak dengan gejala sosial.

