SETIA mahu jadikan Rundum, Tenom dan Tambunan lubuk ekonomi pelancongan baharu
KOTA KINABALU: Kawasan tanah tinggi Rundum, Tenom dan Tambunan berpotensi muncul sebagai destinasi pelancongan baharu yang mampu menjana pendapatan kepada penduduk luar bandar menerusi pembangunan produk agropelancongan dan ekopelancongan.
Presiden Persatuan Inovasi Pelancongan Sabah (SETIA), Christina Wahida Kong berkata, pihaknya kini giat meneroka peluang itu bagi membangunkan pakej pelancongan komersial, sekali gus menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa ke pedalaman negeri ini.
Katanya, usaha berkenaan dilaksanakan menerusi program lawatan pengenalan destinasi (FAM Trip) dari 1 hingga 4 Oktober lalu yang disertai 11 pengusaha agensi pelancongan.
“Program ini bertujuan menilai potensi produk pelancongan baharu termasuk aktiviti pertanian, penginapan desa, rekreasi alam semula jadi dan pengalaman budaya masyarakat tempatan.
“Inisiatif ini juga menyokong persediaan Tahun Melawat Tenom 2027,” katanya dalam kenyataan.
Christina berkata, antara lokasi yang dikenal pasti mempunyai potensi besar ialah Rundum Highlands yang menawarkan peluang pembangunan aktiviti perkhemahan, mencerap bintang, memerhati burung, merentas hutan dan pelancongan sejarah.
Delegasi turut mengunjungi Padas Farmstay bagi meninjau peluang menjadikan aktiviti pertanian dan kehidupan desa sebagai produk pelancongan.
Di Kampung Tikolod, Tambunan, peserta berpeluang merasai sendiri pengalaman menuai halia yang berpotensi dibangunkan sebagai tarikan agropelancongan.
Menurut Christina, aktiviti pertanian boleh dikembangkan menjadi produk pelancongan pendidikan dan pengalaman makanan dari ladang ke meja, sekali gus membuka peluang pendapatan tambahan kepada petani.
“Pelancongan berasaskan pertanian bukan sahaja mampu menarik pengunjung, malah boleh membantu pengusaha kecil memasarkan produk serta memperkenalkan keunikan kehidupan masyarakat luar bandar,” katanya.
Selain itu, beberapa lokasi termasuk Tambunan Village Resort Centre, Sunsuron Homestay, Taman Rekreasi Kintup, Yit Foh Cafe dan Gerald Baxter Durian and Pomelo Farm turut dikenal pasti berpotensi dimasukkan dalam pakej pelancongan baharu.
Christina berkata, pembangunan produk berkenaan berpotensi memberi manfaat kepada pelbagai sektor ekonomi tempatan termasuk penginapan, makanan, pengangkutan dan perusahaan kecil.
Beliau turut menghargai sokongan Lembaga Pelancongan Sabah (STB), khususnya Ketua Pegawai Eksekutifnya, Julinus J. Jimit, dalam menjayakan program berkenaan.
Katanya, pengusaha agensi pelancongan yang menyertai lawatan itu akan berusaha merangka pakej baharu yang menggabungkan tarikan tanah tinggi, pertanian, aktiviti lasak dan warisan komuniti.
“Kerjasama erat antara pemain industri, agensi kerajaan dan masyarakat setempat penting bagi memastikan manfaat ekonomi pelancongan dapat dinikmati penduduk luar bandar,” katanya.
Christina berharap inisiatif itu dapat meningkatkan daya tarikan Rundum, Tenom dan Tambunan sebagai destinasi pelancongan alternatif Sabah menjelang Tahun Melawat Tenom 2027.

