Shahelmey gesa lepasan STPM pilih bidang berpermintaan tinggi

PUTATAN: Ahli Parlimen Putatan, Datuk Shahelmey Yahya menggesa lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) membuat pilihan bijak dalam menentukan bidang pengajian dan kerjaya bagi memenuhi keperluan industri pada masa depan.

Beliau berkata, golongan itu perlu meneruskan kecemerlangan akademik ke peringkat pengajian tinggi dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan negeri serta negara melalui bidang yang diceburi.

SHAHELMEY (tengah) bergambar kenangan bersama para penerima dalam program tersebut di Hotel Pan Borneo, Putatan.

Menurutnya, perkembangan pesat teknologi termasuk Kecerdasan Buatan (AI) membuka peluang besar dalam pelbagai sektor dan wajar diterokai oleh generasi muda.

“Lepasan STPM perlu bijak memilih kursus pengajian atau bidang pekerjaan yang mempunyai permintaan tinggi dalam industri.

“Ia penting untuk melahirkan masyarakat berilmu dan berkemahiran, sekali gus meningkatkan daya saing Putatan pada masa depan,” katanya selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Pelajar Cemerlang STPM 2025 di Hotel Pan Borneo, Putatan.

Seramai 44 pelajar cemerlang STPM 2025 dari SMK Putatan, SMK Sanzac dan SMK La Salle menerima sumbangan penghargaan atas pencapaian mereka.

Berita Berkaitan