Slovakia berminat jalin kerjasama perniagaan dengan Sabah
KOTA KINABALU: Republik Slovakia menyatakan minat untuk meneroka peluang pelaburan dan kerjasama perniagaan dengan Sabah dalam beberapa sektor strategik, termasuk pengurusan serta pemantauan jalan raya, pemantauan air dan pertahanan.
Hasrat itu disuarakan Duta Besar Republik Slovakia ke Malaysia, Peter Spišiak, ketika mengadakan kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Dalam pertemuan berkenaan, Spišiak memaklumkan bahawa Slovakia mempunyai kepakaran dalam teknologi pemantauan jalan raya dan pengurusan air yang berpotensi diteroka bagi menjalin kerjasama dengan Sabah.
Beliau turut menyatakan minat untuk memperluas hubungan ekonomi dan perdagangan, termasuk meneroka peluang kerjasama dalam sektor pertahanan.
Sementara itu, Hajiji menyambut baik minat yang ditunjukkan Slovakia dan mengalu-alukan usaha negara berkenaan untuk meneroka peluang perniagaan serta pelaburan di Sabah.
Pertemuan itu membuka ruang kepada kedua-dua pihak untuk meneliti potensi kerjasama dalam bidang yang dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan teknologi negeri.
Turut mengiringi Spišiak ialah Pegawai Diplomatik Hal Ehwal Perdagangan dan Ekonomi Kedutaan Slovakia, Natália Furdová, serta Konsul Kehormat Republik Slovakia di Kota Kinabalu, Datuk Seri Panglima Wong Khen Thau.
— SABAH NEWS TODAY

