Tangga terkena kabel elektrik, kontraktor maut di sekolah Kudat

KUDAT: Seorang kontraktor warga Filipina maut selepas tangga yang digunakannya dipercayai terkena kabel elektrik ketika melakukan kerja pemasangan dan pembaikan lampu di kawasan pagar sebuah sekolah, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.31 pagi itu, mangsa lelaki berusia 56 tahun dipercayai terkena renjatan elektrik sebelum terjatuh ketika menjalankan kerja di pintu gerbang Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Lok Yuk, Batu 1.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.31 pagi sebelum sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat bergegas ke lokasi.

Menurutnya, pasukan bomba tiba empat minit kemudian dan mendapati mangsa dipercayai terkena renjatan elektrik di kawasan pintu gerbang sekolah berkenaan.

“Pasukan bomba menghubungi Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) pada jam 8.40 pagi bagi mendapatkan bantuan memutuskan bekalan elektrik sebelum kerja mengeluarkan mangsa dapat dijalankan.

“Pihak SESB tiba pada jam 9.12 pagi dan memutuskan bekalan elektrik di kawasan kejadian bagi memastikan keselamatan anggota penyelamat,” menurut kenyataan itu.

JBPM Sabah memaklumkan, mangsa berjaya dikeluarkan ke kawasan selamat pada jam 9.15 pagi.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan II Reavy Onong dengan pemantauan Pegawai Penguasa Bomba Darikson Galanang.

Turut membantu operasi ialah enam anggota polis, tiga petugas KKM dan tiga kakitangan SESB.

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.46 pagi selepas pasukan bomba memastikan kawasan kejadian selamat.

— SABAH NEWS TODAY

Berita Berkaitan