Tham gesa penyelesaian segera isu parkir dan kesesakan di HQE

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas, Tham Yun Fook menggesa kerajaan mempercepatkan penyelesaian terhadap isu kekurangan parkir dan kesesakan lalu lintas di Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE1), Hospital Queen Elizabeth 2 (HQE2) serta Klinik Kesihatan Luyang.

Beliau berkata, Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah mengakui masalah itu memberi kesan kepada pesakit, pelawat dan petugas kesihatan, selain memerlukan penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang.

Menurutnya, antara langkah yang dirancang termasuk pembinaan parkir bertingkat di HQE melalui Projek Naik Taraf Hospital Queen Elizabeth di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), pengasingan laluan ambulans dan kenderaan kecemasan, penyediaan parkir sementara berhampiran HQE2 dengan kerjasama Khazanah Sabah Berhad serta penambahan 419 petak parkir melalui Projek Pusat Jantung Sabah.

Katanya, kementerian turut menilai pembinaan fasiliti kesihatan baharu di kawasan bersempadan Kota Kinabalu dan Penampang bagi menampung peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan kesihatan.

Bagaimanapun, Tham berharap semua perancangan itu dapat dilaksanakan dalam tempoh munasabah.

Beliau turut menggesa kerajaan mempercepatkan langkah jangka pendek termasuk penyediaan parkir sementara, penambahbaikan aliran trafik dan pengangkutan awam ke fasiliti kesihatan.

Berita Berkaitan