Tiada rundingan rasmi dengan Warisan, KDM, kata Jeffrey
KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) belum mengadakan sebarang perbincangan rasmi dengan Warisan atau Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) mengenai kemungkinan kerjasama atau pakatan politik.
Presiden STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, berkata keutamaan parti ketika ini adalah memperkukuh kedudukannya sendiri sebelum mempertimbangkan sebarang kerjasama.
“Kami tidak mahu menyertai mana-mana gabungan sebagai liabiliti atau mendapati diri kami bergantung kepada kekuatan parti lain.
“Kami mesti membina kekuatan sendiri terlebih dahulu. Jika tidak, STAR Sabah berisiko hanya mempunyai suara yang lemah dalam mana-mana gabungan atau pakatan politik,” katanya dalam kenyataan.
Jeffrey berkata fokus STAR ketika ini adalah memantapkan parti serta memperkasakan suara Sabah.

