Jerebu: Nizam gesa kurangkan aktiviti luar jika IPU tidak sihat
KOTA KINABALU: Orang ramai di Sabah dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar apabila bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) berada pada tahap tidak sihat susulan keadaan jerebu yang melanda beberapa kawasan ketika ini.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, keadaan itu antara lain berpunca daripada asap tebal akibat kebakaran hutan dan tanah gambut di Kalimantan yang dibawa tiupan angin ke wilayah Borneo termasuk Sabah.
Katanya, berdasarkan maklumat Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah, beberapa kawasan termasuk Tawau, Semporna dan Kota Kinabalu mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat.
Beliau berkata, golongan kanak-kanak, belia, warga emas serta individu yang mempunyai masalah kesihatan dan pernafasan perlu lebih berhati-hati dan mengurangkan aktiviti fizikal di luar rumah.
Dalam masa sama, Nizam menggesa persatuan sukan, akademi, kelab, jurulatih dan penganjur program supaya memantau bacaan IPU serta menyesuaikan latihan dan aktiviti luar mengikut keadaan semasa.
Menurutnya, aktiviti berintensiti tinggi di kawasan terbuka wajar dikurangkan, ditangguhkan atau dipindahkan ke lokasi tertutup jika keadaan tidak mengizinkan.
Beliau turut menyeru masyarakat supaya tidak melakukan pembakaran terbuka dan segera melaporkan sebarang kebakaran kepada pihak berkuasa.
Katanya, kerajaan negeri bersama agensi berkaitan akan terus memantau perkembangan semasa, manakala JAS dijangka meningkatkan rondaan, pemantauan dan penguatkuasaan.

