Tiga maut, seorang cedera kereta terjunam gaung

LAHAD DATU: Tiga lelaki maut manakala seorang lagi cedera selepas kereta Proton Aeroback yang dinaiki mereka dipercayai terbabas di selekoh sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira lima meter di Jalan Hutan Simpan Bagahak, malam tadi.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.38 malam sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu digerakkan ke lokasi kejadian.

Pasukan tiba pada pukul 8.16 malam dan mendapati sebuah kereta dipercayai terbabas sendiri sebelum terjunam ke gaung.

Tiga lelaki dewasa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya.

Seorang lagi lelaki dewasa mengalami kecederaan dan dihantar ke hospital menggunakan ambulans KKM bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Operasi turut dibantu PDRM dan KKM sebelum ditamatkan pada pukul 8.45 malam selepas keadaan di lokasi disahkan selamat.

Identiti mangsa belum diperoleh.

Berita Berkaitan